GEJALA SOSIAL......




PUNCA GEJALA SOSIAL


Punca – punca utama yang mendatangkan gejala sosial adalah globalisasi dan modenasasi. Perubahan-perubahan pantas tahap nasional berlaku kerana perubahan pada arus global yang digelar globalisasi.
Globalisasi tidak saja ditandai dengan dominasi ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran. Pembudayaan kota (cityculture) menuruti landasan Barat berlaku dengan lebih pantas dan agresif dengan adanya teknologi maklumat dan multi media sebagai kenderaan yang amat berkesan untuk melakukan agenda globalisasi. Lazimnya, kita sebagai manusia mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara baru dan trendy, yakni bukan dari budaya ketimuran. Tidak mustahil kita akan jatuh terpengaruh dan mengikut arah aliran kebaratan, terutama sekali golongan belia. Contohnya seperti mewarnakan rambut, memakai anting-anting atau tattoo bahkan sampai kepada hal-halyang sangat teruk seperti pengambilan minuman keras dan pergaulan bebas yang boleh menjurus kepada masalah – masalah gejala sosial yang lebih serius.
Dalam dunia serba moden ini, masyarakat mementingkan prestij dan kemewahan; oleh sebab itu, mereka menjadi semakin individualistik dan materialistik. Bandingkan dengan masyarakat tradisional,masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi, kompetitif dan tidak lagi menganggap saudara-mara atau jiran-jiran sebagai kelompok rujukan, bahkan adat tradisional seperti memuncang-muncang juga sudah ditinggalkan. Bukan saja ini berpaling daripada budaya kita sebagai orang Melayu tetapi juga daripada tuntutan agama Islam. Ukhuwah atau persaudaraan adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam memandangkan ianya akan dapat mengukuhkan perpaduan sesama manusia, khususnya sesama muslim

Bentuk-bentuk Manifestasi globalisasi dan modenisasi
Media Massa

Pengaruh modenisasi dan globalisasi in lebih terasa dan ketara dengan bantuan berbagai alat media-massa yang serba canggih. Media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk kesemua peringkat umur.Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat disekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.

Internet

Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) juga turut menyumbang kepada pemaparan gejala-gejala negatif selain peranannya yang begitu penting bagi kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Melalui internet umpamanya, masyarakat yang berfikiran kurang sihat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus kearah pemikiran negatif.

Institusi Kekeluargaan Yang Goyah

Institusi kekeluargaan yang bermasalah juga boleh menimbulkan gejala sosial. Ibu bapa seharusnya menerap dan mendidik anak-anak mereka dari kecil. Sekiranya, ibu bapa bersikap sambil lewa terhadap pendidi kan agama anak-anak mereka, ini akan menjadi satu faktor punca gejala sosial. Bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa diluangkan untuk keluarga itu terhad. Ini akan membuat anak - anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Selain daripada itu, rumahtangga yang bermasalah juga, seperti perceraian dan pergaduhan turut mempengaruhi remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Cara Berpakaian

Jika kita perhatikan pakaian sesetengah golongan muda di masa ini cukup memalukan.Cara berpakaian mereka bertentangan dengan cara pakaian budaya melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita.Mereka begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju.Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit.Sayangnya, tidak semua dapat menerima pendapat bahawa mereka ada memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan seks bebas. Walaupun Brunei Darussalam sebuah negara MIB, kita tidak dilarang berfesyen, akan tetapi berpadalah dengan aturan dan garis panduan syarak dan budaya yang telah ditetapkan

Dunia Cinta Remaja

Di zaman moden ini, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah SWT. Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Tetapi sekiranya perasaan ini tidak dikawal, sudah tentu ini akan menimbulkan gejala - gejala sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan penciptaNya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.

Terlalu Banyak Masa Lapang

Sekiranya masa lapang golongan belia terbatas,mereka akan rasa kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja untuk melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti perbuatan negatif.

Pengaruh Rakan Sebaya

Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.

Dahagakan Keseronokkan

Sikap remaja juga dahagakan keseronokan. Jadi apa sahaja benda-benda yang memberikan keseronokan kepada mereka akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan-kawan atau pilihan sendiri. Hal ini menyebabkan remaja terlibat dengan rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dadah dan sebagainya. Ketika ini apa yang terlintas di pemikiran mereka adalah keseronokan tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu kelak.



KESAN MASALAH GEJALA SOSIAL

Masalah gejala sosial di dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam diri individu, masyarakat dan Negara.  Remaja pada hari ini merupakan aset utama dan sangat penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja dan masyarakat pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk menanganani permasalahan yang kian meruncing ini, ini menjadikan pembentukkan jati diri dan kemuliaan akhlak rapuh dari mata masyarakat kita sendiri.Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka peribadi seseorang individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Kesan Ke atas Individu

Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyankkan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.

Kesan Ke atas Keluarga

Keluarga memainkan peranan yang sangat penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian yang dialami sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.

Kesan Ke atas Masyarakat

Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini ialah dengan melihat akhlak dan moral sesuatu masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan masyarakat. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Namun begitu terdapat kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Hal ini menberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.

Kesan Ke atas Negara

Implikasi utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditengani segera akan menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat. Perkara ini menjadikan kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial ia sekaligus meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah. Seterusnya anasir-anasir luar akan meresap masuk kedalam negara sekiranya generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk.




Ummi. Adda. (2017) . Gejala sosial. Diakses pada 17.7.2017 daripada

Ulasan