Setiap asrama melaksanakan minggu
orientasi dan sering dikaitkan dengan 'ragging'. Perkara setakat cuci kasut,
ambil makanan untuk senior, tiup kipas, jilat stokig dan calit muka dengan
warna air adalah dianggap sebagai hanya mahu menjalinkan hubungan lebih rapat
dengan pelajar lebih senior.
Namun apabila perbuatan buli itu
sudah ke tahap ugutan, pukul, menjatuhkan maruah serta memalukan, dan
adakalanya ada kes kematian, apakah itu juga dikira sebagai ‘ragging’ yang
dianggap mahu mengeratkan hubungan antara pelajar baharu dan lama.
‘Ragging’ pernah menyebabkan ada
kes kematian semasa minggu orientasi seperti yang terjadi pada 1988, di mana seorang
pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Cheras yang dibelasah beberapa
pelajar senior dalam tandas sekolah.
Sejak kebelakangan ini, kes buli
bukan saja terjadi dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan
sekolah menengah tetapi sudah menular dan berlaku pada murid sekolah rendah. Kes
buli juga sering membabitkan pelajar perempuan yang berbaju kurung dan
bertudung tanpa segan silu menyepak dan memukul rakan sebaya tanpa belas
kesihan.
Menurut Prof Madya Datuk Ali
Hasan iaitu Presiden Permuafakataan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), berkata masyarakat
umum termasuk ibu bapa, guru dan komuniti tidak seharusnya merasa selesa
terutama apabila ada yang mencanangkan bahawa perkara ini terkawal sedangkan
realitinya ia wujud. Beliau berkata keadaan ini agak membimbangkan, jika dulu
buli hanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekarang murid sekolah
rendah pun terbabit, dan hanya melibatkan pelajar lelaki, tetapi kini
membabitkan pelajar perempuan.
Menurutnya, dalam Bicara Persada
Canselori, sejak kebelakangan ini buli bukan sahaja berlaku di sekolah aliran biasa
namun sudah merebak dan turut berlaku di sekolah aliran agama. Ali berkata
tradisi yang dijalankan di sekolah berasrama yang bersifat negatif ketika
minggu orientasi termasuk ragging wajar dihapuskan.
Oleh sebab itu, tradisi baik yang
ada dikekalkan, tetapi yang buruk tidak perlu dikekalkan. Ada tradisi yang
tidak senonoh kononnya ‘ragging’ atau buli dilakukan untuk menjadikan pelajar
lebih cekal. Banyak lagi cara untuk menerapkan ketahanan diri pelajar bukannya
secara yang membahayakan nyawa. Dalam isu buli ini, semua pihak perlu memikul
tanggungjawab bukan hanya menuding jari kepada pihak tertentu saja untuk
menyalahkan isu ini.Ibu bapa perlu sedar ini tanggungjawab bersama.
Dalam isu buli ini, pendekatan
dalaman perlu ditekankan bagi melengkapkan pelajar dengan jati diri yang
terdiri daripada akhlak yang baik, pendidikan agama mencukupi, budi bahasa,
mengamalkan nilai murni dan mempunyai hubungan baik dengan ahli keluarga serta
rakan taulan. Sebagai langkah awal, ibu bapa dan pihak sekolah boleh menyelami
jiwa anak menerusi sistem amaran awal dengan melihat perubahan kelakuan dan
sikap, pergaulan dan prestasi akademik mereka.
Hubungan antara pihak sekolah dan
ibu bapa juga penting. Sekolah yang berjaya dari segi akademik dan pelajar yang
kurang masalah disiplin termasuk tiada ciri jenayah dapat dilihat pada sekolah
yang mewujudkan hubungan dan kerjasama baik dengan ibu bapa.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan Semenanjung (NUTP) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan
mewujudkan jawatan ketua guru disiplin di sekolah. Guru ini diberi latihan dari
segi undang-undang dan psikologi menangani masalah disiplin sekolah termasuk
buli.
Peratusan kes buli yang dilaporkan
sebenarnya masih kecil kerana kebanyakan kes berlaku di luar waktu kelas atau
di luar kawasan sekolah. Masyarakat tidak boleh menyalahkan guru semata-mata
kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai dengan nisbah guru.
Di sekolah, guru bukan hanya
menyampaikan ilmu, guru juga terbabit dalam hal pentadbiran termasuk mengisi
data, menghadiri mesyuarat. Justeru, dengan bilangan pelajar yang ramai sukar
bagi guru menumpukan perhatian mendalam kepada setiap pelajar.
Tidak diketahui.(2017). Kes
Buli Jadi Jenayah di sekolah ;Bernama.
Muat turun pada 2.8.2017 daripada :http://www.bharian.com.my/node/26805
Ulasan
Catat Ulasan